UiTM Gesa Penuntut Tidak Terlibat Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor
SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Datuk Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar hari ini menasihati penuntut universiti itu tidak terbabit dalam sebarang ceramah dan kempen di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.
Beliau berkata sebagai penuntut, pengajian adalah lebih utama dan memerlukan fokus seratus peratus.
"Sebagai penuntut pelajaran perlu diutamakan dan jangan babitkan diri dengan perkara yang dilarang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Sahol berkata semua penuntut tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar Institut Pengajian Tinggi menyertai kempen politik dalam pilihan raya.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung pada 25 April ini berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.