About Me

My photo
Mass Communication Students Association atau MASSA adalah satu persatuan pelajar yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berperanan untuk menyatukan semua pelajar komunikasi tanpa mengira sequence dan menjalankan program untuk para pelajar di UiTM Shah Alam amnya dan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya.

Friday, April 16, 2010

2 Surat Pelajar FKPM Dalam Berita Harian 15 April 2010


Kerja, sikap sambil lewa mudah jadi mangsa tipu

LAPORAN bertajuk 'Tengku Puan Pahang kecewa pihak keselamatan tak peka' yang disiarkan akhbar ini 12 April lalu menarik perhatian.

Laporan itu menyebut Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar kecewa dengan kecuaian pihak keselamatan sehingga seorang remaja boleh menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang untuk memperdayakan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Tengku Puan Pahang kerana kejadian terbabit membuka mata pelbagai pihak yang sebelum ini mengambil sikap sambil lewa dalam melakukan tugasan yang diberikan.

Kes ini memperlihatkan kelemahan pegawai kerajaan dalam melaksanakan tugas mereka kerana ini bukanlah kali pertama remaja terbabit dengan kes penipuan identiti. Walaupun kes sebegini diambil mudah oleh sesetengah pihak, kerajaan seharusnya memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan institusi Raja.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menjaga kedaulatan Raja bukannya mencemarkan institusi Diraja demi kepentingan sendiri. Pegawai kerajaan juga harus lebih peka mengenai perkara sebegini dan perlu keluar daripada zon selesa mereka sekarang ini terutama apabila ia membabitkan institusi Diraja.

Agak memalukan sekiranya dunia mengetahui bahawa pegawai kerajaan di Malaysia begitu mudah ditipu oleh remaja berusia 18 tahun. Ini memperlihatkan pegawai kerajaan tidak mempunyai kualiti dan begitu mudah ditipu.

Perkara sebegini boleh mengundang keraguan rakyat terhadap kerajaan. Pihak kerajaan harus lebih peka mengenai pemasalahan sebegini kerana ia akan mencemar imej kerajaan secara tidak langsung kerana orang ramai mula mempersoalkan kredibiliti pegawai kerajaan.
Satu garis panduan khas harus dikeluarkan terutama mengenai perkara membabitkan institusi Diraja agar penjawat awam sentiasa peka.

NURUL AIN NASIS,

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam



Kes bapa 'rosakkan' anak kian berleluasa

KEBELAKANGAN ini negara digemparkan dengan pelbagai berita membabitkan isu sosial. Bercakap mengenai isu sosial, kita pasti tidak dapat lari daripada merujuk kepada ibu bapa sebagai tonggak utama bagi membanteras isu ini.

Tetapi pada hari ini, ada pelbagai kes yang memperlihatkan kelakuan bapa yang di luar jangkaan malah melangkaui batas pemikiran.

Sebagai contoh, merujuk kepada laporan akhbar ini 7 April lalu bertajuk ‘Remaja jadi hamba seks bapa 6 tahun’ memperlihatkan bahawa seorang manusia yang sepatutnya melahirkan warisan bangsa sebaliknya memusnahkan masa depan darah daging mereka sendiri.

Di manakah silapnya? Siapakah yang harus dipersalahkan? Pelbagai majlis ilmu dan motivasi kerap meuar-uarkan bahawa ibu bapa adalah pemangkin utama bagi memastikan anak mereka mempunyai akhlak dan budi pekerti baik.

Tetapi dalam konteks ini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan mendidik anak-anak ini sekiranya pencabulan dan titik permulaan kehancuran akhlak anak-anak ini bermula daripada bapa mereka sendiri?

ZAHARATUL MARDHIAH AZIZUL,

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam



Penulis Zaharatul Mardhiah juga merupakan Setiausaha MASSA.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...