Kereta hidrogen ciptaan UiTM sertai perlumbaan
SHAH ALAM 7 Julai - Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini berjaya membina sebuah kereta lumba berkuasa hidrogen bagi menyertai Shell Eco Marathon 2010 yang bakal berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Litar Formula 1, Sepang.
Menurut Pengurus pasukan itu, Mohd. Izmir Yamin, kereta prototaip itu dibina dengan kerjasama semua penuntut kursus kejuruteraan yang dikenali sebagai Engines Union.
Penuntut berusia 28 tahun yang sedang mengikuti pengajian Kejuruteraan Mekanikal itu menambah, penciptaan tersebut penting kerana inovasi dalam tenaga alternatif seperti hidrogen untuk kenderaan pada masa depan tidak dapat dielakkan.
"Kereta ini seberat 130 kilogram dan pemandunya mesti mempunyai berat tidak lebih 70 kilogram," katanya kepada pemberita di sini.
Upacara simbolik pelepasan kereta tersebut telah dilakukan sendiri oleh Naib Canselor UiTM, Datuk Dr. Ir. Prof. Sahol Hamid Abu Bakar dalam satu majlis ringkas di perkarangan Bangunan Canselori semalam.
Mohd. Izmir menjelaskan, pemandu kereta itu, Syed Mohd. Harussani, 24, yang juga penuntut jurusan kejuruteraan telah membuat tiga kali uji pandu di Litar F1 Sepang dan harapan untuk menang agak cerah kerana persaingan hanya daripada pasukan dari Singapura.
Beliau juga berpendapat pertandingan yang julung kali diadakan di Sepang itu bakal menjadi pemangkin kepada inovasi industri permotoran negara ini.