Alhamdulillah program Bertamu Di Anjung Raudhah telah berjaya dijalankan dengan lancar berkat izin dan kekuasaan-Nya. Program yang dilangsungkan pada hari Khamis, 3 September 2009 bersamaan dengan 13 Ramadhan 1430H di MassComm Square ini berjalan dalam cuaca yang baik dan dihadiri oleh lebih 250 warga Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) bukan sahaja pelajar tetapi juga dekan, timbalan dekan, pensyarah dan staf di FKPM.
Majlis dimulakan seawal 5.30petang iaitu dengan sesi pendaftaran para pelajar yang hadir. Mereka yang mendaftar terus dibekalkan dengan air minuman, kurma, kuih muih, penutup mulut dan hidung serta borang kaji selidik. Program dimulakan pada jam 6.20 petang dengan kehadiran Dekan FKPM, Prof. Madya Dr. Mohd Adnan Hashim diiringi Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Dan Sumber, Prof. Madya Jamaluddin Abdul Rashid dan Penasihat MASSA, Puan Hariyati Ariffin.
Program terus dimulakan oleh pengacara, saudara Muhammad Nur Anuar Nordin dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Farhan Darwis. Selepas itu acara diteruskan dengan ucapan oleh Presiden MASSA, saudari Suhaila Kamal dan seterusnya ucapan daripada Dekan FKPM.
Program petang itu diteruskan dengan Forum Perdana Ehwal Islam FKPM dengan dikendalikan oleh moderator saudara Mohamad Bukhari Abdul Aziz di samping dua ahli panel yang dijemput khas iaitu Ustaz Dr. Afandi Mat Rani, pensyarah CiTU dan saudara Helmi Zainal Abidin yang pernah bekerja di TV9 dan juga ASTRO OASIS yang juga merupakan bekas pelajar FKPM dalam program Penyiaran. Tajuk forum pada petang tersebut adalah 'Menuntut Ilmu Sebagai Satu Ibadah'.
Forum yang berlangsung lebih setengah jam tersebut dihentikan apabila waktu berbuka puasa hampir tiba. Apabila sudah masuk waktu Maghrib, azan dilaungkan di MassComm Square oleh bilal, saudara Sahinal Azral Sulaiman. Tetamu membatalkan puasa dengan menjamah kurma , kuih muih dan air minuman yang disediakan seterusnya bersiap untuk solat Maghrib. Selepas selesai solat, semua tetamu menjamu selera di mana pelajar makan di kawasan khemah manakala tetamu makan di Bilik Mesyuarat Mini FKPM.
Sementara menunggu waktu Isyak, bacaan selawat dimainkan sambil pelajar menghabiskan makanan masing-masing. Program seterusnya diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan solat sunat Terawih sebanyak lapan rakaat. Selesai solat, Penasihat MASSA Puan Hariyati memberikan sedikit cenderahati kepada bilal dan imam yang memimpin solat berjemaah.
Tamat program, Puan Hariyati meminjam sedikit masa imam iaitu Ustaz Dr. Afandi untuk memberikan sedikit tazkirah kepada para pelajarnya yang mengambil subjek Communication and Change sebagai salah satu tugasan mereka. Dalam masa yang sama AJK MASSA dikerumuni oleh para pelajar untuk ditemuramah bagi menyelesaikan salah satu tugasan yang diberikan oleh Puan Hariyati.
Selepas siap berkemas, satu post-mortem ringkas di bawah khemah diadakan pada jam 11.15 malam dengan kehadiran beberapa AJK MASSA dan juga ad-hoc. Puan Hariyati memulakan sesi post-mortem dengan sedikit ucapan diikuti oleh setiap ad-hoc yang hadir dan juga AJK MASSA yang sama-sama meluahkan pandangan tentang persediaan dan perjalanan program serta masalah dan cadangan penambahbaikan. Post-mortem berakhir pada jam 12.30 tengah malam.
Kami di pihak MASSA berasa amat bersyukur kerana program ini dapat dilangsungkan dengan baik dan jayanya. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ad-hoc yang membantu dan tidak ketinggalan ucapan terima kasih kepada semua hadirin yang sudi meluangkan masa untuk hadir. Semoga program kerohanian seperti ini dapat diteruskan pada semester-semester akan datang. Insyaallah..