About Me

My photo
Mass Communication Students Association atau MASSA adalah satu persatuan pelajar yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berperanan untuk menyatukan semua pelajar komunikasi tanpa mengira sequence dan menjalankan program untuk para pelajar di UiTM Shah Alam amnya dan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya.

Wednesday, August 26, 2009

Pelancaran Kempen Mencegah H1N1



Pada 24 Ogos 2009 (Isnin) telah selamat dilakukan pelancaran untuk Kempen Mencegah H1N1 di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) anjuran MASSA dengan kerjasama semua kelab-kelab dalaman FKPM termasuk tiga kelab yang baru ditubuhkan. Pelancaran kempen telah disempurnakan oleh Dekan FKPM, Prof Madya Mohd Adnan Hashim diiringi Penasihat MASSA, En Abu Yamin di hadapan pejabat pentadbiran FKPM dengan disaksikan para pelajar yang telah dilantik untuk menjadi ejen bagi kempen ini.

Majlis pelancaran ringkas ini dipengerusikan oleh Pengarah Program untuk Kempen Mencegah H1N1 iaitu saudara Tashreeq dengan simbolik pelancaran, dekan menandatangani poster kempen. Sejurus tandatangan diturunkan, dekan bersama-sama setiap ejen menyarungkan topeng muka masing-masing dan bergerak untuk melakukan kempen kelas ke kelas dimulakan dengan kelas di DK6. Pelajar-pelajar di dalam kelas berkenaan bertuah kerana dekan sendiri sudi turun padang untuk sama-sama menyerahkan topeng muka percuma kepada para pelajar beserta edaran risalah-risalah berkaitan pencegahan H1N1.

Sejurus selepas itu, ejen-ejen meneruskan kempen bergerak ke empat buah kelas lagi untuk pemberian topeng muka dan edaran risalah. Selain itu, saudara Tashreeq bersama-sama Presiden MASSA, saudari Suhaila Kamal dan Timbalan Presiden MASSA, saudara Meor Iszwan turut serta menyampaikan sedikit penerangan dan kata-kata nasihat berkaitan kempen dan pencegahan H1N1.

Pada pagi pelancaran, hanya lima buah kelas yang sempat dilawati memandangkan bekalan topeng muka yang terhad. Walaubagaimanapun masih ada pelajar yang datang ke Bilik Gerakan MASSA untuk mendapatkan topeng muka percuma. Selain untuk pelajar, ejen juga bergerak untuk memberikan para pensyarah dan staf di fakulti dengan pemberian topeng muka serta risalah melalui edaran bilik ke bilik para pensyarah di tingkat lima dan juga di pejabat pentadbiran FKPM.

Untuk pengetahuan semua, kempen ini akan berjalan selama satu bulan. Sepanjang kempen, para pelajar adalah digalakkan untuk memakai topeng muka ketika berada di fakulti mahupun di mana sahaja tempat tumpuan awam selain bertanggungjawab ke atas diri sendiri untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan perlindungan diri dari dihinggapi virus maut ini. Semoga kempen ini mencapai objektifnya untuk menyedarkan para pelajar akan bahayanya virus H1N1 ini dan pentingnya langkah pencegahan diambil. Sesungguhnya 'mencegah adalah lebih baik daripada mengubati!'

MASSA sedang menunggu ketibaan stok-stok topeng muka daripada pembekal yang dijangka tiba pada pertengahan bulan September. Pemberian topeng muka percuma akan diteruskan selepas bekalan tiba. Di samping itu para pelajar digalakkan untuk membeli sendiri topeng muka di pasaran untuk kegunaan sendiri memandangkan setiap topeng muka yang dipakai hanya boleh 'berfungsi' selama lapan jam sahaja. Mari bersama kita cegah H1N1!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...