300 mahasiswa UiTM anjur kempen antibuang bayi
ALOR GAJAH 29 Sept. - Gejala sosial termasuk kes pembuangan bayi yang berlaku akhir-akhir ini mendorong 300 penuntut Diploma Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Lendu menganjurkan Kempen Antipembuangan Bayi 'Menyentuh Kehidupan' di sini hari ini.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena penganjuran sehari kempen itu antaranya acara simbolik cop tangan yang disertai mahasiswa dan masyarakat, pertandingan poster, pameran, persembahan kesedaran kempen, sajak dan teater pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Kesihatan dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Norpipah Abdol berkata, penganjuran kempen tersebut bertepatan dengan isu pembuangan bayi yang sedang melanda negara ketika ini.
Menurutnya, langkah yang diambil sekumpulan mahasiswa terbabit sekurang-kurangnya membantu kerajaan mengatasi gejala yang berlaku khususnya dalam kalangan golongan belia.
"Kita percaya hanya melalui kesedaran yang dipupuk golongan rakan sebaya mampu mengajak belia untuk sama-sama mencegah daripada terlibat dengan gejala pembuangan bayi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kempen itu di pekarangan Dataran Keris UiTM Lendu.
Turut hadir, Pengarah Kampus UiTM Lendu, Datuk Prof. Madya Dr. Mizan Hitam; Koordinator Program Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Abdul Rauf Ridzuan dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Muhamad Alyas Abdul Jalil.
Menurutnya, usaha yang digerakkan mahasiswa UiTM itu wajar dicontohi oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain bagi membolehkan program pencegahan gejala buang bayi dilaksanakan secara berterusan.
"Kita mahu kempen kesedaran menangani gejala buang bayi ini dilaksanakan secara berterusan dan tidak semata-mata mengikut musim tertentu.
"Gesaan ini berdasarkan keadaan statistik kes pembuangan bayi yang berlaku di seluruh negara dan keadaan ini amat membimbangkan," katanya.
Beliau berkata, pada masa ini, statistik gejala itu menunjukkan terdapat 51 kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu.
Daripada bilangan kes itu, kata beliau, enam kes sedang menunggu perbicaraan manakala 21 orang yang terlibat dalam kes berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Norpipah berkata, pihaknya percaya kes pembuangan bayi mampu diatasi sekiranya semua pihak terutama di kalangan masyarakat mengambil inisiatif membantu mengatasi permasalahan yang berlaku.
"Jika ada di kalangan kita yang hanya berpeluk tubuh dan menyalahkan individu yang terlibat dalam gejala ini, pasti masalah ini tidak mampu ditangani seterusnya menjadi penyakit barah yang sukar dirawat," katanya.