About Me

My photo
Mass Communication Students Association atau MASSA adalah satu persatuan pelajar yang berdaftar di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berperanan untuk menyatukan semua pelajar komunikasi tanpa mengira sequence dan menjalankan program untuk para pelajar di UiTM Shah Alam amnya dan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media khususnya.

Sunday, July 18, 2010

12 Kampus Baru UiTM Akan Dibuka Menjelang 2015


12 Kampus Baru UiTM Akan Dibuka Menjelang 2015

JOHOR BAHARU, 17 Julai (Bernama) -- Dua belas kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dibuka di seluruh negara menjelang tahun 2015, yang akan dibina menerusi projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembukaan kampus baru berkenaan sejajar dengan hasrat UiTM untuk memiliki 200,000 pelajar dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Daripada 12 kampus itu, enam sudah diluluskan termasuk kampus Pasir Gudang manakala bakinya sedang di peringkat perbincangan untuk diluluskan Kabinet," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah UiTM Johor Kampus Pasir Gudang, di sini pada Sabtu.

Mohamed Khaled yang juga anggota parlimen Pasir Gudang berkata selain Pasir Gudang, kampus lain yang dibina termasuk Pekan di Pahang, Dengkil di Selangor, Tapah di Perak, Jasin di Melaka dan Seremban Tiga di Negeri Sembilan.

Beliau berkata pembinaan setiap satu kampus itu melibatkan kos RM300 juta dengan mampu menampung kira-kira 4,000 hingga 5,000 pelajar dan asrama yang mampu menampung kira-kira 2,000 pelajar.

Menurut Mohamed Khalid, sesebuah kampus kini perlu dibina di kawasan strategik dan kondusif termasuk berdekatan dengan kawasan industri dan perumahan supaya memberi manfaat kepada pelajar dan penduduk setempat.

"Kalau boleh, pendekatan pembinaan sesebuah kampus mesti menyeluruh supaya kebolehan graduan dapat ditingkatkan. Graduan berpeluang untuk dilatih dan yang paling penting pihak industri dapat mengkomersialkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh pihak kampus," katanya.

Mengenai kampus Pasir Gudang, Mohamed Khaled berkata kewujudan kampus itu akan menggiatkan aktiviti pendidikan berasaskan inovasi melalui bidang penyelidikan dan pengkomersialan selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti.

Kampus yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun itu, katanya menawarkan pengajian peringkat diploma kejuruteraan awam, elektrik, kimia dan mekanikal serta diploma pengurusan perniagaan.

Sumber : BERNAMA




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...