Berikut adalah artikel berkenaan yang diambil daripada Berita Harian Online :
Wartawan perlu kreatif jadi ejen pembangunan masyarakat
SECARA umum jika ditanya mengenai siapa wartawan, mungkin ramai menjawab mereka adalah golongan penyampai ilmu dan maklumat melalui penulisan. Namun, ada juga persepsi negatif, wartawan suka menjaga tepi kain orang dan memutarbelitkan fakta untuk kepentingan sesuatu pihak. Walau apapun pandangan mengenai kerjaya dan dunia kewartawanan, peranan mereka dan media massa dalam pembangunan serta pemodenan tidak dinafikan.
Pengamal media terkemuka, Datuk A Kadir Jasin, berkata wartawan adalah ejen menyampai maklumat kepada masyarakat. Sejajar perkembangan teknologi moden, media baru mula mendapat tempat dalam pemikiran masyarakat masa kini. Kemunculan media baru kata Kadir, adalah saingan hebat kepada media cetak. Media baru berpaksikan internet. Contoh, laman berita, akhbar dalam talian, laman web sosial seperti youtube dan twitter kini menjadi sebahagian sumber maklumat.
“Keadaan ini memberi saingan kepada media tradisional iaitu media cetak dan secara tidak langsung menyebabkan sambutan terhadap medium berkenaan merosot. Ironinya, media cetak yang masih menjadi wadah pengguna adalah media hiburan. “Senario ini menyebabkan generasi muda malas membaca, berfikir dan membuat analisis serta bergantung kepada teknologi semata-mata. Sekiranya keadaan ini berlanjutan, peranan media dan wartawan sebagai ejen pembangunan dan pemodenan tidak akan lancar,” katanya.
Beliau yang juga Pengarang Kumpulan Berita Publishing berkongsi pandangan pada Kolokium Kritikan Media Ke-22, Fakulti Komunikasi Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini. Kolokium bertemakan ‘Peranan Wartawan Sebagai Ejen Pembangunan dan Pemodenan’. Katanya, peranan media sebagai ejen pembangunan dan pemodenan merangkumi aspek terlalu luas termasuk sumbangannya ke arah pembangunan ekonomi sesebuah negara.
“Wartawan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya dalam bidang kewartawanan menjadikan model ekonomi baru sebagai bahan kajian utama bagi menyumbang ke arah pembangunan berkenaan. Cabaran media baru harus dijadikan kayu pengukur kejayaan peranan wartawan itu sendiri. Malah cabaran media baru harus dijadikan medium persaingan sihat yang akan menggerakkan fungsi wartawan itu sendiri,” katanya.
Kadir menyarankan wartawan banyak latihan selain kreativiti dan ada inisiatif sendiri sebagai batu loncatan menjadi ejen pembangunan dan pemodenan berkesan, konsisten serta bermutu kepada masyarakat dan negara.
Sementara itu, Prof Dr Ahmad Murad Merican, dari Universiti Teknologi Petronas, Perak berkata, wartawan perlu memodenkan diri dengan berfikiran kritis selain menguasai ilmu dan pengetahuan sebagai langkah menerajui pemodenan dan pembangunan negara.
Beliau berkata, profesion kewartawanan adalah bidang yang mendahului idea, pemikiran, pembangunan, negara dan bangsa. Namun, wartawan itu sendiri perlu memantapkan diri dengan dedikasi tinggi untuk mengorak langkah lebih jauh dan berpotensi tinggi dalam membantu untuk kemajuan dan kemodenan negara.
Masyarakat katanya, gemar memilih media baru yang semakin popular walaupun wujud kesan positif dan negatif sebagai medium alternatif dalam mendapatkan maklumat mengenai suatu isu. Media arus perdana pula sering dikatakan tidak telus dalam menyebarkan maklumat.
Sehubungan itu, beliau berpendapat seharusnya program seperti kolokium ini dapat berperanan sebagai pemerhati dan pengkritik media dilihat sebagai satu wadah yang membangun kepada pengamal media terutama wartawan baru yang tidak menerima kritikan secara positif. Ini penting bagi pemerhati media untuk mengkritik secara positif dengan memberi komen serta ulasan terhadap media di Malaysia daripada sudut kekuatan dan kelemahan media terutama surat khabar.
Beliau menjelaskan, soal ini perlu dinilai semula kerana kefahaman wartawan baru terhadap maksud kritikan itu sendiri sudah mendatangkan makna berbeza kerana kebiasaannya kritikan itu dilihat sebagai negatif. Sikap negatif ini, katanya. perlu dikikis kerana sebagai wartawan mereka juga mengkritik dalam penulisan.
Ahmad Murad menyelar segelintir wartawan yang semakin lupa kepentingan dan keagungan dalam bidang penulisan lebih-lebih lagi daripada segi genre dalam kewartawanan seperti kolum minda pengarang, wawancara dan kritikan.
Genre itu memainkan peranan penting dan memperlihatkan keunggulan bidang kewartawanan dari corak penulisan yang menyerapkan pengetahuan dan pendapat yang bernas untuk difikirkan bersama sebagai mengorak langkah ke arah kemajuan. Isu sensitif juga perlu dijaga pengamal media, memandangkan keadaan demografi di Malaysia yang pelbagai kaum, bangsa dan agama.