5,000 pelajar miskin, anak yatim ke UiTM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan 5,000 tempat untuk pelajar miskin dan anak yatim melanjutkan pengajian di universiti itu setiap tahun.
Beliau berkata, ia bagi memberi peluang kepada golongan itu mendapat pendidikan di peringkat tertinggi di negara ini.
‘‘Jika ini dapat dilakukan, 20,000 pelajar miskin terdiri daripada anak pekebun, anak yatim, nelayan dan anak kakitangan pembantu am rendah akan berpeluang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kampus UiTM Puncak Alam Fasa Satu di sini yang dihadiri lebih 1,000 penuntut UiTM dari beberapa kampus cawangannya petang ini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Kampus UiTM Puncak Alam merupakan kampus tambahan untuk menampung lebih 20,000 pelajar dari kampus induk Shah Alam.
Fasa satu UiTM Kampus Puncak Alam menempatkan Fakulti Farmasi, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Fakulti Sains Kesihatan di atas tapak seluas 138.3 hektar daripada tapak keseluruhannya seluas 434.3 hektar.
Kini kampus Puncak Alam telah diisi seramai 4,200 pelajar dan 520 kakitangan akademik dan pentadbiran.
Pihak UiTM memohon agar kerajaan memberi peruntukan untuk membina sebuah hospital di atas tanah kosong seluas 40 hektar di kampus itu bagi membolehkan 2,000 doktor Melayu dilahirkan dalam tempoh lima tahun.
Perdana Menteri ketika mengulas permohonan itu menyatakan kesediaan menimbang dan menyemak permintaan itu dengan Kementerian Kewangan.
‘‘Saya kena semak ada duit atau tidak sebab perbelanjaan membina hospital ini memang besar.
‘‘Saya akan semak dan pertimbangkan sebaik-baiknya perkara ini,” kata beliau.