12 September 2009 (Sabtu), Lobi Hotel UiTM Pulau Pinang
Sesi ramah mesra dan dialog antara MASSA dengan Dean's List Club UiTM Pulau Pinang telah dipengerusikan oleh Penasihat Dean's List Club, En. Anderson yang juga merupakan pensyarah muda di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Pulau Pinang. Sesi dimulakan oleh Presiden MASSA yang memperkenalkan AJK MASSA yang hadir serta menerangkan serba sedikit tentang MASSA diikuti dengan Presiden Dean's List Club yang menerangkan tentang kelab dan aktiviti kelab mereka.
Untuk pengetahuan anda, MASSA dan Dean's List Club sebenarnya pernah merancang untuk mengadakan usahasama program pengantarabangsaan ke Bandung, Indonesia namun program berkenaan yang dijadualkan pada hujung tahun ini terpaksa ditangguhkan atau mungkin dibatalkan disebabkan pekeliling Naib Canselor yang melarang aktiviti ke luar negara akibat Influenza A H1N1.
Selain membincangkan tentang projek ke Bandung, perkara lain yang dibincangkan adalah satu lagi progam ke Sabah sebagai program alternatif. Kami juga di pihak MASSA telah diberikan beberapa nasihat berguna daripada En. Anderson antaranya kepentingan meminta sijil penghargaan daripada setiap agensi atau syarikat yang menjalankan usahasama dengan setiap program anjuran MASSA. Sijil penting kepada setiap AJK sesebuah kelab terutamanya ketika mahu mencari pekerjaan selain tanda penghargaan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan.
Di akhir pertemuan, Presiden Suhaila Kamal mewakili MASSA menerima sijil penghargaan daripada Presiden Dean's List Club untuk program Nur Ramadhan yang berlangsung pada malam sebelumnya. Semoga ukhwah dan siratulrahim antara dua kelab ini akan terus utuh dan insyaallah kerjasama dan usahama akan terjalin lagi dalam projek-projek akan datang.