MELAKA, 12 Julai (Bernama) -- Empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah disahkan positif Influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata seorang dari empat penuntut itu kini dirawat di Hospital Melaka manakala tiga lagi dikuarantin di asrama kampus itu.
"Buat masa ini keadaan di UiTM Lendu terkawal," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen MCA Melaka oleh Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat di Wisma MCA di sini, Ahad.
Liow berkata satu pasukan kesihatan ditempatkan di kampus berkenaan untuk membuat pemantauan dan penilaian secara menyeluruh terhadap keadaan di kampus itu.
"Kita nak pastikan tidak ada penularan Influenza A (H1N1) dalam kampus itu dan tindakan kawalan dan pencegahan telah pun diambil dengan segera," katanya.
Beliau berkata jika berlaku penularan kemungkinan kampus berkenaan terpaksa ditutup untuk sementara waktu.
Liow berkata pihaknya juga mendapat kerjasama baik daripada pihak pentadbiran UiTM dalam menangani kes berkenaan termasuk dibantu seorang doktor yang berkhidmat di kampus itu.
Beliau berkata ramai penuntut di kampus itu yang terkena selesema biasa dan petugas kesihatan turut memantau mereka.
Ditanya punca jangkitan terhadap empat penuntut terbabit, beliau berkata ia belum diketahui.
Dipetik dari laman web BERNAMA
KLIK SINI untuk membaca info mengenai Influenza A (H1N1)