Pelajar UiTM Permatang Pauh terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing selepas kampus mereka ditutup seminggu ekoran wabak selesema babi.
15 000 cuti seminggu - Dua lagi kampus UiTM ditutup kerana wabak selesema babi
Dua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) masing-masing di Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Seri Iskandar, Perak diarah tutup seminggu berikutan penularan wabak selesema babi (H1N1).
Kampus UiTM Permatang Pauh yang mempunyai 5,000 pelajar ditutup mulai semalam ekoran 10 kes H1N1 membabitkan kumpulan pelajar yang telah dikuarantin sejak lima hari lalu.
Bagi kampus Seri Manjung, sebahagian besar daripada 10,000 pelajarnya mula balik ke kampung masing-masing semalam selepas Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan ia dikosongkan selama seminggu mulai hari ini.
Sebelum ini kampus UiTM Lendu, Melaka diarah tutup selama sembilan hari mulai 8 Julai lalu selepas 13 pelajarnya dijangkiti H1N1.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kesemua 10 mangsa H1N1 dari kampus UiTM Permatang Pauh kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Beliau berkata, mereka telah dikuarantin bersama 300 pelajar lain yang mengadu demam, selesema dan batuk sebelum diambil sampel darah masing-masing untuk diuji.
"Buat masa ini seramai 280 lagi pelajar diarah menjalani kuarantin di asrama atau rumah," kata Boon Koh pada sidang akhbar di sini semalam.
Di Seri Iskandar pula, Exco Kesihatan Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, tindakan menutup kampus UiTM itu diambil selepas 280 pelajar disahkan menghidap penyakit seperti influenza (ILI).
"Kita sudah menghantar sampel darah masing-masing dan keputusan sama ada mereka dijangkiti H1N1 atau tidak akan diketahui dalam tempoh 24 jam," jelasnya.