SHAH ALAM: Lebih 3,000 penuntut baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pelajar senior yang mengendalikan Minggu Mesra Siswa 2009, bertuah kerana dapat bersama-sama Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melakukan aktiviti senam seni.
Perdana Menteri dan Rosmah serta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah, yang tiba di Stadium UiTM pada jam 5.30 petang, terus menyertai penuntut melakukan senam seni, iaitu senaman berbentuk tarian diiringi irama tradisional.
Selepas menghabiskan masa kira-kira 30 minit melakukan senam seni dan beramah mesra dengan penuntut, Najib dan isteri berjalan kaki ke Kolej Perindu - asrama lelaki yang terletak tidak jauh dari stadium universiti itu.
Beliau melawat hingga ke bilik penginapan pelajar bagi meninjau kemudahan yang disediakan serta memasuki dan memeriksa keadaan tandas di asrama itu.
Perdana Menteri turut menasihatkan penuntut supaya membina kebolehan menguruskan pengetahuan yang mereka peroleh.
"Anda seharusnya mengetahui bagaimana mengurus pengetahuan dan untuk melakukannya, anda mesti mempunyai disiplin dan keupayaan untuk mensintesis maklumat... apa yang boleh dipercayai dan apa yang perlu diketepikan," katanya kepada lebih 30 penuntut UiTM yang meluangkan masa bersama beliau minum sambil bertukar-tukar pandangan di kafeteria kolej itu.
Turut serta dalam perbincangan yang berlanjutan selama 30 minit ialah Mohamed Khaled, Saifuddin serta Naib Canselor UiTM, Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.
Najib turut menasihatkan mahasiswa tidak menggadaikan masa depan dan terpedaya dengan dakyah pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi menitikberatkan pendidikan dan UiTM adalah aset terbesar kerajaan dalam bidang ini.
Mereka turut mendengar sendiri jawapan Najib mengenai penggunaan blog dan kempen menerusi internet oleh pembangkang sehingga memberi kelebihan kepada parti itu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Najib berkata, penggunaan media baru itu adalah antara punca kekalahan BN di lima negeri, tetapi pemikiran rakyat kini sudah berubah dan lebih kritikal.
Seorang penuntut turut bertanya kepada Perdana Menteri bilakah UiTM bakal memiliki hospital universiti sendiri bagi tujuan amali kerana sekarang ini mereka menggunakan Hospital Sungai Buloh. Menjawab soalan itu, Najib berkata, kerajaan menyedari kebaikan UiTM untuk memiliki hospital universiti sendiri, tetapi kerajaan belum mempunyai peruntukan. - Bernama
Sumber Berita Harian, 29 Jun 2009
Maklumat Tambahan
- Selain dua orang Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) iaitu saudara Akmal dan Saudara Saiyed Ismail, empat lagi pelajar FKPM terlibat dengan Minggu Mesra Siswa Sesi Julai 2009 sebagai Pembantu Mahasiswa. Dua daripadanya adalah AJK MASSA iaitu Timbalan Presiden, Meor Iszwan serta Biro Media dan Publisiti, Tashreeq manakala dua lagi adalah saudara Fayadh dari MC221/06 dan Anuar dari MC222/05.
- Wakil MPP kedua-duanya bekerja di Pusat untuk MMS ini manakala 4 Pembantu Mahasiswa (PMMS) dari FKPM bertugas di Kolej Perindu dan turut merasai pengalaman duduk semeja bersama Perdana Menteri Malaysia. Separuh dari sesi soal jawab antara Dato' Seri Najib dengan PMMS dimonopoli oleh soalan-soalan dan pandangan dari saudara Anuar antaranya mengenai peranan media baru seperti blog dalam politik negara.