Saya ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar FKPM dan berdoa agar anda semua berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Menjadi pelajar cemerlang bukan sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan dugaan perlu anda harungi sebelum berjaya mendapat keputusan cemerlang setiap semester. Jadikan sasaran `deans list' sebagai cita-cita setiap semester. Kejayaan anda mempamerkan sikap yang berdedikasi, bijak menggunakan masa dan kestabilan mental dan emosi yang baik serta saling hormat menghormati antara rakan dan pensyarah.
Sebagai pelajar anda mestilah menghormati para pensyarah yang telah memberikan ilmu kepada anda. Mereka ibarat ibu dan ayah yang akan merestui apa juga yang anda lakukan. Setiap apa yang diajar minta dihalalkan dan jika berkesempatan jumpa pensyarah sebelum menduduki peperiksaan.
Selain itu keraplah menghubungi ibu dan ayah anda walau dimana mereka berada kerana restu dan doa dari kedua ibubapa amat penting dalam menentukan kejayaan anda. Mereka telah banyak berkorban untuk anda semua. Kejayaan anda adalah kejayaan mereka juga.
Akhirkata, tenangkan fikiran dan duduki lah peperiksaan dengan hati yang terbuka dan sentiasa berdoa pada Allah agar mempermudahkan laluan peperiksaan ini untuk anda. Wassalam. Salam sayang dari saya.
Puan Hariyati Ariffin @ MAMA